Penawar Buat Yang Putus Cinta



“Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!” 
Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam. Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan Rasulullah SAW?
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah firman Allah ini:
“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.” Al Baqarah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati. Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!
Jadikan putus cinta itu sebagai pengajaran dalam proses pembelajaran kehidupan kita. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
 cc : GentarRasa
Kalau benar Cintamu kepada Tuhan lebih tinggi,
Maka dimana pembuktiannya ?
Sesungguhnya cinta bukan sekadar kata dan angan-angan,
Perlu dibuktikan dengan amal dan tindakan..

* Lepaskanlah segalanya, Percayakan Dia :)


4 comments

  1. mungkin kite putus dengan dia, Allah nak hadirkan seseorang yg lebih bagus drp dia. hehe

    ReplyDelete
  2. fuhhh... kebetulan terjumpak blog ni. Terima kasih untuk sharing ni. :)

    ReplyDelete
  3. Cintalah secara bersederhana kan? Tapi tulah, perasaan ni kita susah nak control :>

    ReplyDelete
  4. yep, entri ni bgus utk org yg putus cinta. Cintalah pada Dia, kau x akan menyesal ehehe

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi menulis komen di blog Nurrul, sebarang pertanyaan akan dibalas secepatnya. Jazakallahu khairan